Superbest Tak Jadi Taja Kelantan


Superbest Power Malaysia yang dikatakan bakal membantu The Red Warriors meneruskan saingan Liga Super 2017 dilihat tidak akan meneruskan impian yang diharapkan oleh seluruh penyokong TRW.

“Untuk makluman, pihak kami terus terang mahu kerjasama dengan TRW. Pada pertemuan pertama nampak berjalan lancar. Tapi selepas mesyuarat pihak TRW ada menghubunyi pihak kami memaklumkan yang mereka tidak boleh menerima perancangan yang kami cadangkan”, petikan komen dari Facebook Superbest Power Malaysia.

Komen tersebut dimuat naik beberapa jam setelah reaksi Tan Sri Annuar Musa di facebook beliau yang menggesa KAFA supaya membuat kenyataan media memberi amaran syarikat dan individu yang membuat kenyataan mengaitkan KAFA tanpa persetujuan. Status penuh beliau adalah :

KAFA harus beri kenyataan media memberi amaran SKT DAN INDIVIDU membuat kenyataan mengaitkan KAFA tanpa persetujuan..
PENAJA mesti tahu membezakan antara MENAJA,MEMBELI HAK DAN LAIN LAIN PERCUBAAN CADANGAN MENJADIKAN KAFA BIZ PARTNERS(yg lazimnya Kita tolak)
Misalnya ada skt mau KAFA menjual produk mereka..KAFA SETAHU SAYA TIADA outfit itu…
YG PENTING TLG JGN KELIRUKAN PENAJA LAIN..nanti yg di kejar tak dpt yg di kendong berciciran..
Jumpa KAFA,runding,sign kontrak..BARU BUAT PENGUMUMAN..
Bagi skt marketing,jgn lihat soal publisiti saja..FAHAMI DULU APA YG CUBA DI LAKUKAN SUPAYA JGN ROSAK REPUTASI SENDIRI…

 

 

Reaksi TSAM itu ekoran satu artikel di Harian Metro :

SuperBest sedia sumbang RM10 juta

Kuala Lumpur: Syarikat minuman kopi kesihatan SuperBest Power Health Food and Beverages membayangkan bersedia untuk mengisi kantung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sejumlah RM10 juta semusim sekali gus memberi harapan cerah kepada The Red Warriors (TRW) beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SuperBest Power, Kamal Mohd Nor berkata, syarikat itu bersedia untuk membantu Kelantan dengan situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak tanpa meletakkan apa-apa syarat ‘pelik’ kepada KAFA seperti yang pernah dilakukan penaja sebelum ini.

Katanya, dalam perbincangan awal bersama persatuan itu sebelum ini, pihaknya mencadangkan untuk diadakan beberapa siri jelajah bersama pemain TRW dan SuperBest Power di 10 daerah di negeri Kelantan.

“Istilah bantuan kami kepada Kelantan bukan bentuk penajaan tapi lebih kepada sumbangan ikhlas bagi membolehkan pasukan itu meneruskan cabaran dalam saingan liga bola sepak negara.

“Cuma untuk merealisasikan perkara itu, saya mencadangkan supaya beberapa pemain mengikuti kami mengadakan siri jelajah di seluruh daerah negeri itu.

“Saya percaya, jika ia dapat dijalankan kemungkinan kita boleh mengutip hampir RM1 juta di setiap daerah dengan syarat pemain TRW juga perlu turut serta. Kalau kita dapat membawa pemain ke 10 daerah, di situ boleh dapat lebih kurang RM10 juta.

“RM1 juta hanya perkiraan kasar tapi saya berhasrat untuk menyumbang 25 peratus daripada jualan itu kepada pasukan Kelantan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Artikel tersebut disiarkan oleh Harian Metro pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:17 AM