Selesai Kemelut, TRW Kembali Dengan Jersi Merah


KOTA BHARU 6 Januari 2017 – Selepas hampir sebulan episod ‘tarik diri’ melanda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), akhirnya segalanya berjaya dinoktahkan dengan keputusan positif untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia 2017 dengan bantuan bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.

The Red Warriors menarik nafas lega apabila Tan Sri Annuar Musa mengumumkan sedia menjadi penaja utama menerusi dua syarikat di bawahnya iaitu Al Hamra dan Red One.


“Untuk itu saya telah kemukakan satu pendekatan dimana dua syarikat dibawah saya iaitu Al-Hamra Group dan Red One akan menjadi penaja utama memastikan pelan ini tidak gagal.

“Oleh kerana Al-Hamra sebagai penjamin (bon) RM3 juta saya mesti ambil tanggungjawab supaya TRW terus bersaing dalam Liga Malaysia 2017.

“Saya juga ingin jelaskan bahawa saya tidak akan kembali sebagai Presiden KAFA sebaliknya saya kini sebagai penaja. Saya tidak berminat soal jawatan dan pangkat tapi saya tidak akan membiarkan The Red Warriors yang saya bina mati hanya kerana tidak ada sokongan”, jelas Tan Sri Annuar Musa pada sidang media di Hotel Sutera Inn, hari ini.

Pada sidang media tersebut juga, tanpa berselindung Tan Sri Annuar Musa berharap jersi pasukan kembali merah untuk jersi utama dan biru untuk jersi kedua. Ciri-ciri ‘chekered’ akan diterapkan kembali memandangkan ia merupakan imej awal ketika The Red Warriors mula dijenamakan.