Kami Rindukan Musim 2012


Kebanyakkan penyokong masih terbayang zaman kemuncak TRW sekaligus merangkul gelaran treble pada musim 2012. Ternyata kenangan itu masih terpahat dalam kenangan setiap penyokong TRW. Selepas kejayaan tersebut, pasukan Kelantan dilihat semakin merudum sehingga mengumumkan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia 2017 akibat kekurangan dana.

Merenung kembali kronologi pasukan bolasepak Kelantan, ianya dimulakan apabila Tan Sri Annuar Musa pada 2007 dan pasukan Kelantan mendapat transformasi dengan membawa gelaran The Red Warriors. Pelbagai pendekatan telah diambil bagi memperkasakan pasukan sehingga mengejutkan arena bolasepak negara apabila TRW berjaya melangkah ke Final Piala FA dan Piala Malaysia pada 2009. Walaupun tewas kepada Selangor dan Negeri Sembilan dalam kedua-dua perlawanan akhir itu ia merupakan amaran kepada semua gergasi bolasepak tanah air pada waktu itu.

Akhirnya pada 2010, TRW melakar sejarah baru apabila berjaya membalas dendam sekaligus merampas Piala Malaysia daripada juara bertahan Negeri Sembilan. Kebangkitan TRW juga dilihat apabila muncul Naib Juara Liga Super dengan hanya dipisahkan 4 mata dengan Selangor.

Kecemerlangan diteruskan pada tahun 2011 apabila TRW menambah koleksi piala dengan membawa pulang Piala Sumbangsih dengan menewaskan Selangor. Momentum tersebut diteruskan dan hampir membawa pulang Piala FA 2011 namun gol saat akhir Terengganu pada meleburkan hasrat TRW pada perlawanan akhir tersebut. Kekecewaan tersebut tidak menghalang TRW untuk merampas takhta Liga Super 2011 daripada Selangor.

Pada 2012, TRW seolah-olah sebuah pasukan yang bagai tidak dapat disekat kemaraannya walaupun pada awal musim gagal mempertahankan Piala Sumbangsih apabila tewas kepada Negeri Sembilan. Kekalahan itu seolah-olah membakar semangat TRW untuk terus bangkit dan membawa pulang ketiga-tiga piala utama Liga Malaysia walau pelbagai liku terpaksa diharungi pada waktu itu. Kejayaan itu bertambah manis apabila Kelantan berjaya mencipta rekod tanpa kalah di tempat sendiri. Rekod cemerlang tahun itu menyaksikan TRW hanya tewas 2 kali masing-masing kepada Felda United dalam saingan Liga Super dan Negeri Sembilan ketika perebutan Piala Sumbangsih.

Selepas zaman kemuncak itu, TRW dilihat seperti perlahan-lahan kehilangan sentuhan sehingga mereka hanya mampu mempertahankan Piala FA dan ianya merupakan piala terakhir yang dibawa pulang ke Kota Bharu oleh TRW sehingga ke hari ini.

Keadaan Kelantan bertambah parah, apabila kemelut kewangan melanda KAFA menyebabkan mereka tidak mampu untuk meneruskan saingan Liga Malaysia 2017 dan akan ditentukan dalam kongres luar biasa pada 29 Disember 2016.

.