Jangan Tarik Diri!


Para penyokong The Red Warriors masih mengharapkan pasukan kesayangan mereka itu akan menyertai saingan Liga Malaysia 2017. Mereka melihat ada sedikit ‘sinar’ apabila terdapat beberapa pihak berminat untuk menaja dan membantu pasukan yang pernah menjadi kuasa bolasepak negara beberapa tahun yang lalu.

Bermula dengan pengumuman mengejut penarikan diri TRW dari Liga Malaysia 2017 pada 16 Disember 2016 oleh Setiausaha KAFA , Datuk Ismail Md Noor. Keputusan tersebut mungkin berubah jika ada penyelamat pada saat akhir dan keputusan muktamad akan diumumkan pada kongres luar biasa pada 29 Disember 2016.

Setelah pengumuman tersebut pelbagai reaksi dari pelbagai pihak untuk menyelamatkan bolasepak Kelantan termasuklah gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bola sepak, menggesa Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) supaya tidak menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia musim depan.

Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) yang dianggotai kira-kira 50 orang terdiri daripada beberapa NGO sukan itu, antaranya Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Kelab Pemain Legenda Kelantan 80-an dan Persatuan Bola Sepak Masyarakat Cina Kelantan (PBSMCK) berpendapat Kafa tidak wajar menarik diri daripada menyertai saingan tersebut. BBBSK turut melancarkan tabung Dana Penyelamat Bola Sepak Kelantan bagi meraih sumbangan yang akan diserahkan kepada Kafa untuk digunakan bagi membantu persatuan itu menampung kos diperlukan sepanjang bersaing dalam Liga M musim depan.

Terdapat juga pemain dan penyokong yang menyuarakan supaya Tan Sri Annuar Musa kembali ke pangkuan KAFA dan mereka yakin dengan kepimpinan beliau segala masalah ini dapat diatasi. Ini dizahirkan dengan himpunan aman menuntut TSAM kembali menerajui KAFA di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada 22 Disember 2016 oleh gabungan beberapa kelab penyokong.

Sebelum itu juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta bekas Tan Sri Annuar Musa supaya tampil membantu pasukan negeri itu dari terus ditimpa nasib malang akibat masalah kewangan. Permintaan itu dimuatnaik melalui status di laman facebook beliau pada 21 Disember 2016.

Keadaan itu juga membawa respon positif daripada beberapa pihak yang sedia menghulurkan bantuan dan bersedia menjadi penaja kepada The Red Warriors bagi membolehkan mereka meneruskan saingan Liga Malaysia 2017.

Hasil daripada semua respon positif ini, penyokong TRW amat berharap KAFA tidak akan menarik diri dari saingan Liga Malaysia 2017 dan kongres luar biasa yang akan berlangsung pada hari ini akan memberikan keputusan yang positif.