Aziz Ismail Kembali ke Pangkuan TRW


Di sebalik kemelut penarikan diri The Red Warriors dari Liga-M 2017, pertahanan kental Aziz Ismail kembali ke pangkuan Kelantan setelah membantu Melaka United merangkul Liga Perdana 2016. Sebelum bersama Melaka United, beliau sempat mencuba nasib bersama Pahang FC bagi musim 2015.

Kehadiran beliau dijangka memperkemaskan barisan pertahanan TRW yang dikatakan telah berjaya keluar dari kemelut yang sedang melanda sekaligus bakal meneruskan perjuangan musim 2017.

Sejarah beliau bersama TRW bermula sejak 2011 apabila beliau dibawa pulang dari KL Plus. Jurulatih Kelantan pada masa itu, Datuk M. Karathu mula memberi kepercayaan kepada beliau untuk menggalas tugas memperkukuhkan pertahanan kiri secara bergilir-gilir dengan Zairul Fitree Ishak.

Kekebalan dan kemampuan beliau membuat ‘overlap’ menjadikan beliau pemain pilihan Peter Butler bagi posisi tersebut pada musim 2012. Perjuangan beliau dalam membantu Kelantan meraih treble pada waktu itu terhenti akibat kecederaan ACL kaki kiri pada pertengahan musim.

Setelah pulih dari kecederaan tersebut, pengemudi TRW Bojan Hodak  menurunkan beliau ketika perlawanan persahabatan sempena persiapan musim baru. Namun baru beberapa minit dimasukkan, malang terus menimpa beliau apabila kecederaan yang sama melanda kaki kanan dan terpaksa direhatkan selama setahun bagi musim 2013. Setelah pulih dari kecederaan tersebut, beliau seolah-olah kehilangan sentuhan untuk kembali ke skuad utama 2014 sehinggalah dilepaskan ke Pahang FC pada musim 2015.